Monday, April 27, 2009

Tak malu...

Dalam perjalanan pulang ke PG semalam, aku sempat berfikir. Berfikir? Muhasabah diri?
Hubby di sebelah tekun memandu. Aku di sebelah tekun berangan. Dalam pada berangan-angan, terselinap satu perasaan. Bersyukurkah aku? Semuanya bermula dari sembang-sembang aku dan mak serta adik-adik aku pada hujung minggu lepas. Antara perbualan yang aku masih ingat:


Ulum: Mak, tahun ni kak jaja balik raya dengan kita kan?
Mak: Aa...tahun ni iting, didi dan sina beraya rumah mertua. Tinggal maity n kak jaja je ade.
Aku: Tahun ni aku n kak jaja je ada. Tahun depan aku, iting, didi dan sina je ada. Tahun lagi satu, aku dan kak jaja je ada. So setiap tahun aku adalah penunggu tetap rumah mak. (dengan nada bangga...)

Mak: (senyum je..)

Sepanjang perjalanan ke PG, rangkap perbualan itu yang bermain di dalam minda. Syukur aku dapat meraikan hari raya bersama keluarga. Tak perlu berebut atau bermasam muka dalam menentukan di mana tempat hendak beraya. Sedari kecil lagi, aku memasang angan-angan dan berdoa agar bila aku besar nanti setiap kali raya aku hendak balik ke rumah mak dan ayah. Menyambut raya bersama mereka. Sedari kecil lagi aku berangan-angan untuk mempunyai suami berbangsa cina (kecil lagi sudah pandai menggatal). Sedari kecil lagi aku berangan-angan untuk mempunyai rumah yang besar. Dan insyaAllah aku akan punya rumah besar (besar -dalam konteks aku) tidak lama lagi. Sedari kecil lagi aku berangan-angan untuk punya kereta sendiri, supaya aku boleh bebas ke sana ke mari. Sedari kecil lagi aku berangan-angan untuk menjadi seorang pensyarah. Walaupun ia pilihan ke-2 selepas doktor, tapi aku berjaya mencapai cita-cita tersebut. Dan berbagai-bagai angan-angan lagi...

Jika dihitung segala angan-angan aku itu, alhamdulillah aku memperolehi hampir kesemuanya. Cuma lambat atau cepat sahaja. Tapi jika aku hitung amal ibadat aku kepada-Nya, sungguh aku malu. Aku tak malu meminta segala macam angan-angan kepada-Nya. Tapi aku dengan tak malunya masih mengabaikan segala suruhanNya. Allah...
Saat telinga mendengar azan, mata pula masih tercantap di depan tv. Saat tangan mengangkat takbir, otak mula ligat memikirkan apa yang hendak dibuat selepas itu. Saat hati rasa gelisah dengan masalah, pandai pula aku mengadah tangan memohon pertolongan dari-Nya. Tak malu sungguh aku...

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah al-Rahman, ayat 36)

Wednesday, April 22, 2009

Daun Kari Seposen (kisah seterusnya..)

Sambungan kisah daun kari seposen...

Hubby: Ni daun ape? (sambil mulut mengunyah daging dan kuis daun kari tu)
Aku: Daun kari la...
Hubby: Betul ke daun kari? Macam mana u tau? (sambil celup roti dalam kuah kari..)
Aku: I tau la. Kan kat rumah mak ada daun kari.
Hubby: ooo. (makin selera makan...)

Ok aku nak tanya kawan-kawan sekalian. Perlu ke tak kita letak daun kari tu? Apa kesan pada kari kalau kita tak letak daun tu...? Hmmm still wonder. Nak cuba sendiri takut tak sedap pulak kari aku.

Tuesday, April 21, 2009

Daun Kari Seposen

Daging...Pagi-pagi lagi aku tanya kawan aku kat mana nak beli daging segar. Hubby nak makan kari/gulai. Tak kisah la daging or ayam. Yang penting kari. Hmmm...lepas bertanya kawan-kawan termasuklah Teja, so tempat pilihan adalah di Kipmart. Berkobar nak membeli daging. Tepat 5 ptg, aku punch card dan terus ke Kipmart.

Sampai saja di sana, perkara pertama yang aku beli semestinya daging la. Ada 2 jenis daging, satu daging beku dan satu lagi daging segar. Dah niat aku dari pagi lagi hendakkan daging segar, maka setengah kilo daging segar bernilai rm7 berjaya aku beli. Alhamdulillah. Misi pertama telah lengkap. Misi seterusnya adalah membeli santan dan juga rempah kari daging. Letak kedai tidak jauh dari tempat daging tadi. Dan lebih memudahkan kedua-dua barang ini dijual di kedai yang sama. Ok, masalah timbul. Nak beli santan yang telah siap diperah atau kelapa mesin? Hmmm...ikut akal pendek aku, aku beli kelapa mesin. So rempah kari 2 peket dan kelapa mesin semua rm2.30. Alhamdulillah misi ke-2 selesai. Misi ke-3 nak cari daun kari. Daun kari ini aku beli dekat kedai sayur. Tokei kedai menunjukkan serumpun daun kari, aku kata nak sikit je. (Sebenarnya dalam hati aku cuma nak minta setangkai daun kari je, tapi malu). Maka, aku pun belilah seranting daun kari. Banyak. Aku tanya berapa harga. Tokei kedai dengan senyum-senyum cakap "Seposen. Seposen tu harga plastik". Nak ketawa aku dengar. Tapi aku bayar jugak la harga seposen daun kari tu. Alhamdulillah lega. Barang-barang yang diperlukan siap dibeli.

Daun kari seposen.

Balik rumah selesai solat Asar aku pun memulakan perjuangan. NAK MASAK KARI DAGING BUAT HUBBY. Berkobar-kobar. Siap potong daging, tumbuk segala bawang-bawang dan rempah. Tiba saat nak perah kelapa mesin. Tiba-tiba aku rasa pelik, kenapa aku tak beli santan yang siap diperah? Betullah aku pendek akal masa menimbang membeli antara santan siap perah dan kelapa mesin tadi. Hmmm...tapi untuk cover pertimbangan akal pendek tadi, aku pun cakap pada diri " YANG PENTING AIR TANGAN ISTERI". Bersungguh aku memerah santan. Tapi sedih santan yang diperah tidak pekat. Teringat Hubby pernah cakap "Kalau masak kari kuah kena pekat, baru sedap". Nasib baik ada stok kentang. Jadi aku pun kupaslah kentang yang gemuk. Sebiji saja. Tak sampai setengah jam, kari daging aku siap dimasak. Alhamdulillah lega. Sekarang tinggal tunggu Hubby balik kerja untuk makan bersama.
Komen Hubby " SEDAPPPP!! GOOD. Boleh buka kedai lepas ni". Senyum lebar aku mendengarnya. Dan lebih puas bila tengok Hubby hirup kuah kari macam hirup kuah sup. Makan roti cicah kuah kari memang menambat selera. Lega hubby suka. Alhamdulillah....

Monday, April 20, 2009

Hadiah dr Teja dan Kosni

Hari Khamis lepas aku pergi rumah Teja. Ambil muffin, buku Iqra' dan co-go yang aku tempah. Pergi waktu tengahari. Panas. Sampai di rumah Teja, dia dah tunggu di bawah dengan Aleeya. Sian pulak dia. Perjumpaan yang singkat tapi buat hati aku tersentuh. Teja belikan buku Iqra' dan hadiahkan al-Quran untuk Hubby tersayang. Ingat lagi kata-kata Teja "Kosni harap Danial dapat baca al-Quran ni, bila-bila masa". Terima kasih Teja dan Kosni. Moga Allah membalas segala budi yang diberikan dengan rahmat ke atas Teja dan Kosni sekeluarga.

Buat Hubby kesayangan, saya akan cuba mengajar Sayang membaca Iqra' dan al-Quran. Biar lama pun masa diambil saya akan cuba. Kata maktuk jangan dipaksa, ajar perlahan-lahan. Kata kawan-kawan juga jangan dipaksa-paksa, ajar perlahan-lahan. Saya tak paksa sayang untuk terus pandai mengaji al-Quran. Kita cuba perlahan-lahan ye Sayang. Kita kenal huruf al-Quran satu persatu dulu yek. Kemudian bila Sayang sudah kenal huruf kita belajar membaca ye Sayang. Impian saya agar Sayang dapat menghadiahkan sedikit surah buat saya andai saya tiada di bumi ini. Impian saya agar kubur saya sejuk dengan doa Sayang. Impian saya agar Sayang dapat mengajar anak-anak kita (sekiranya ada) dengan bacaan al-Quran agar mereka tidak sesat nanti. Impian saya agar kita punya bekalan di akhirat kelak. Impian saya agar Sayang dan saya kita dapat jumpa di dalam Syurga.

Friday, April 17, 2009

Malu....

Memalukan betul la...hari ni aku telah melakukan perkara yang memalukan diri aku. 17 April 2009, hari ini jabatan aku menjadi penganjur bagi Program Perhimpunan Bulanan Staf. Bagi program ini aku ditugaskan untuk menyediakan "goodie bag" bagi VIP (Pengarah, Timb. Pengarah dan semua Ketua Jabatan). Maklumlah, aku pemegang amanah bagi duit jabatan. Masa diberi untuk menyediakan semua ini hanya 2 hari sahaja. Ketua jabatan aku mahukan mug sebagai salah satu barang di dalam beg comel itu nanti, selain daripada air mineral dan muffin.

Kisah bermula dengan pencarian mug. Kebetulan aku dan hubby pergi ke JJ Tebrau, maka aku pun membeli mug di sana. Pilih punya pilih, dari harga yang murah hingga harga yang mahal. Macam-macam bentuk mug ada. Tapi akhirnya aku memilih mug berharga rm1.50. Murah. Tapi aku suka dengan kaler mug tu. Simple. Selesai bab mug. Muffin pula aku tempah dari Teja. Sebiji rm1.50 (sama dengan harga mug). Air mineral aku beli di Kipmart. Rm 1 sebotol, bag kertas rm0.40 satu, bekas muffin rm0.35 satu. Hmmm lega selesai membeli semua barang.

Sebelum balik dari ofis, aku berjanji dengan seorang kawan aku untuk datang awal kerana belum menggantung tag pada mug. 7.30pagi seperti dijanjikan aku dah sampai di ofis. Aku call kawan aku tu, rupanya dia belum keluar rumah lg. Tengah bersiap. Dah sudah, maka aku perlu cepat membawa turun semua barang di ofis dan membuat kerja-kerja penggantungan tag di dalam kereta. Menggeletar tangan aku sebab acara bermula pukul 8 pagi. Selesai aku gantung tag pada mug, dan memasukkan semua barang dalam beg kertas, kawan aku baru sampai. 7.50pagi bertolak ke dewan. Ramai orang dah sampai. Ketua Jabatan aku dah tercongok depan dewan bersama-sama TP. Hmmm...cepat-cepat aku masuk dan letakkan "goodie bag" di meja VIP.
Huh...lega, semua selesai. Aku boleh rileks...

Selesai majlis, aku pergi sarapan. Pulang ke ofis dengan rasa lapang, tiba-tiba pengerusi Kelab jabatan aku panggil. Tanpa rasa bersalah aku pergi ke tempat dia. Dengan senyuman dia berkata, "Dalam 'goodie bag" tu semua ok kecuali 1". Aku tanya balik "Apa dia?" Dia jawab sambil tersenyum, "Harga mug tak dibuang". Hah......malunya aku. Nak buat macam mana. Perkara dah berlaku. Aku berdoa agar Tuan Pengarah tersenyum bila nampak tanda harga mug yang murah ini.

Ini lah mug tu. Comel tak? RM1.50

Harga dia aku tak buang!!!! ( Dapat tahu pun dari lebihan "goodie bag" yang dibawa balik oleh Pengerusi Kelab Jabatan.

Wednesday, April 15, 2009

Terusik

Hari ini aku ada kelas seperti biasa. Kelas pukul 10.15-12.15. Kelas budak sem 2, diploma. Pelajar dalam kelas 40 orang. Semua pelajar melayu. Dalam 40 orang pelajar ini, ada terselit seorang pelajar OKU. Aku sendiri tidak tahu boleh atau tak aku kategorikan pelajar ini pelajar OKU. Sebabnya pelajar ini cacat bahagian lengan kirinya. Lengan kiri membengkak. Bengkak sangat macam orang ke untut. Tapi untut di kaki. Pelajar ini kena di lengan. Kesian sangat bila melihat pelajar ini menulis. Dia tulis perlahan-lahan. Tulisan dia sangat cantik. Kemas dan teratur. Pelajar lelaki ini kecil saja tubuhnya. Pernah aku tanya dia, bila dia kena sakit tu. Dia kata sejak kecil. Doktor kata sakit saraf lengan. Aku tanya lagi, "tak sakit ke tangan awak tu?"
Dia jawab kadang-kadang sakit. Berdenyut-denyut. Payah sangat aku tengok dia "papah/kendong" lengan dia yang besar tu. Kadang-kadang aku lihat dia tutup lengannya yang membengkak itu dengan tuala kecil. Mungkin masa itu tangan dia sakit sangat. Kasihan sangat.

Tapi apa yang mampu aku lakukan? Untuk membantu memberi markah "kasihan" itu amatlah tidak wajar. Jadi yang mampu aku lakukan ialah aku mengajar "slow" untuk kelas ini. Dan sebolehnya aku cuba untuk memberi latihan tambahan untuk menambah markah pelajar ini. Itu sahaja yang mampu aku lakukan. Pernah juga aku bertanya pada kawan-kawan aku yang lain yang turut mengajar kelas yang sama. Mereka kata pelajar ini tak ada masalah. Cuma bila tiba untuk melakukan "wiring" memang pelajar ini tak mampu untuk melakukannya. Tetapi dalam kelas biasa seboleh-bolehnya pelajar ini cuba untuk melakukan sendiri. Kagum aku dengan pelajar ini.

Namun bukan itu cerita yang aku mahu kongsikan di sini. Apa yang mahu aku kongsikan adalah rakan-rakan yang berada di sekeliling pelajar ini. Aku lihat ada 3 orang pelajar yang rapat dengan pelajar ini. 3 orang pelajar ini sangat prihatin dengan kekurangan rakan mereka ini. Aku lihat rakan-rakannya akan membantu mengemas barang-barang pelajar ini dan memasukkan dalam beg dia. Dalam kelas, mesti ada seorang di antara rakan ber-3 itu menemani pelajar OKU tersebut. Dan hari ini sekali lagi hati aku terusik melihat gelagat mereka.

Hari ini hujan lebat, angin bertiup kencang. Suasana di dalam kelas agak suram sama seperti cuaca di luar. Sedang aku sibuk mengajar, kertas pelajar OKU jatuh ditiup angin. Dia tertunduk-tunduk untuk mengambil kertasnya semula. Rakannya di sebelah cuba mencapai kertas tersebut tapi tidak berjaya. Maka yang mampu dilakukan oleh rakan tersebut hanyalah menekan kerusi pelajar OKU tersebut agar pelajar itu tidak jatuh tersungkur. Rakan tersebut melakukan aksi tersebut sehingga pelajar OKU itu berjaya mengambil kertasnya semula. Peristiwa yang berlaku dalam 2 minit itu betul-betul membuatkan hati aku begitu terusik. Memang benar perbuatan rakannya sungguh mudah, cuma menekan kerusi yang terjungkit itu daripada terbalik. Tapi sekiranya rakannya itu tidak melakukan perbuatan berkenaan, aku sendiri seriau untuk membayangkan apa yang bakal berlaku. Dalam keadaa dhaif, pelajar OKU cuba untuk tidak menyusahkan rakannya, cuba untuk berdikari. Tetapi benar Allah telah hadiahkan dia rakan-rakan yang amat memahami. Kagum aku dengan keakraban mereka. Kalau aku di tempat rakan-rakan pelajar OKU ini, belum tentu aku mampu melakukan semua ini. Dan kalau aku di tempat pelajar OKU ini, belum tentu aku punya semangat yang kental untuk belajar.

Sekali lagi aku menyoal diri sendiri, apa yang mampu aku lakukan untuk pelajar OKU ini. Untuk memberi markah "free' atau meluluskan pelajar ini dengan sewenangnya, itu bukan aku. Dan aku rasa tidak adil untuk aku melakukan perkara sedemikian kepada pelajar tersebut dan rakan-rakan sekelas yang lain. Yang mampu aku lakukan hanyalah aku berdoa agar pelajar ini berjaya. Walau terselit rasa risau melihatkan kemampuan pelajar OKU ini yang agak lemah. Tuhan berilah aku kekuatan dalam mencari rezeki yang halal ini.

Saturday, April 4, 2009

Tag dari Rehan

1)Apakah nama blog anda sekarang dan kenapakah anda memilih nama blog itu?
Hidup Ini Indah, kadang-kadang lidah kelu berbicara. Sengaja memilih tajuk ni untuk mencoret segala macam luahan rasa, pendapat, pengalaman, ilmu dan bermacam-macam lagi.

2) Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?
http://www.hidupiniindahmaity.blogspot.com
Memang memilih menamakannya begitu sebab ia coretan dari diri sendiri.

3) Apakah method dalam penulisan blog anda?
Method tu ape? Kaedah macam mana? Contoh ada tak? Tak paham soalan la. Cuma yang pasti tiada kaedah tertentu. Rasa ada sesuatu untuk ditulis dan mungkin dikongsi bersama rakan-rakan maka terhasillah satu entri ke satu entri baru. Yang pasti pelbagai. Tapi masih mengekalkan apa yang berlaku dalam hidup di sepanjang hari perjalanan menuju ke sana.

4) Pernah terasa nak hapuskan blog anda? kenapa?
Tidak. Sebab banyak coretan di sini adalah pengalaman yang paling berharga terutama mengenai orang yang paling disayangi. Kenangan ini kenangan abadi. Perkongsian kenangan paling indah.


5) Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?
Soalan ini ditujukan kepada siapa pemilik blog yang saya akan tag kan? Dari pemahaman saya la..soalan ini agak berbelit. So saya jawab ikut pemahaman saya. Blog kawan-kawan saya ini best kerana banyak ilmu dan panduan secara langsung dan tidak langsung yang saya dapat daripada mereka.

6) Senaraikan calon yang akan di tag: Nak tag brp org?
biasalah tuk geng tetingkap...
1) Qim
2) Teja
3) Sam
4) Awa
dan yang lain-lain la klu anda teringin menjawab...

Thursday, April 2, 2009

Kawan menangis sukar dicari...?




Untuk ke sekian kalinya aku bercerita tentang kawan. Banyak dah entri dalam blog ni aku selitkan tentang kawan-kawan aku. Tapi kali ni aku hendak lebih bercerita kawan-kawan aku dari aku sekolah tadika sampai sekarang. Mungkin entri kali ini panjang dan mungkin juga pendek. Aku cuba ringkaskan yek...

Tadika Kemas Taman Bunga Raya, Setapak, Kuala Lumpur. Dulu aku macam tomboy. Kawan aku adalah sepupu aku yang muda setahun. Lelaki . Aku suka buli dia. Dalam masa yang sama aku rapat dengan ketua kelas. Masih juga lelaki. Nama dia Fuad. Tapi hubungan kawan sampai situ je la sebab habis tadika aku berpindah ke Johor.

Sekolah rendah pertama, aku Sekolah di Sekolah Sri Skudai. Tak lama di sana. Cuma setakat darjah 2 , kemudian aku berpindah di Sekolah Kebangsaan Senai. Semasa di Skudai kawan aku cuma satu je, kawan dari Korea. Nama dia Chiew Song Suk. Berkawan sekejap sebelum di pulang di Korea. Masa tu bapa dia bekerja di UTM. Dia baik orangnya, mak dia dan adik dia pun baik. Tapi sayang aku tak ambil atau simpan sebarang alamat untuk berhubung dengan dia. Di Sekolah Kebanggsaan Senai, aku ramai kawan. Aku paling rapat dengan Maslina Ismail. Memang rapat. Ke mana saja bersama. Habis darjah 6, aku dan Maslina berpisah. Dia sekolah lain aku sekolah lain. Putus hubungan namun tahun lepas aku dapat nombor handphone dia. Aku kontek dia, berbual mesra tapi macam tak selesa. Macam ade blok penghalang. Tak sama line. Isyarat berbeza.

Sekolah menengah, aku bersekolah di Kolej Tunku Ampuan Mariam. Dari tingkatan satu sampai 3. Sekolah ini mengajar aku hidup berdikari (dan jadi lebih manja). Di sana aku rapat dengan insan bernama Rinna Emelia Balqish. Qish tinggi, hitam manis orangnya tapi sangat pandai. Pemurah dan sangat baik hati. Kenangan yang tak boleh aku lupa tentang Qish adalah, masa aku kena darah istihadah. Masa tu aku tingkatan 3, hampir 2 bulan aku kena sakit itu. Nak jadi cerita, sedang aku study bersama-sama Qish, aku 'tembus'. Darah aku bertakung di kerusi di dewan makan. Baju aku jangan cakaplah. Qish menyuruh aku bersihkan diri. Selesai aku bersihkan diri, aku nak bersihkan kerusi tadi. Tapi rupa-rupanya dia dah tolong bersihkan kerusi tadi dan turut mengemop lantai di sepanjang titisan darah yang ada. Kalau diri aku di tempat Qish, belum tentu aku mampu buat apa yang dia buat untuk diri aku.

Seterusnya aku sekolah di Sek.Men.Keb.(A) Bandar Penawar. Di sini aku ramai kawan rapat. Aku anggap rapat tapi tak tahulah mereka. Klik sini untuk tahu siapa mereka. Tapi aku paling ingat dengan Qim sebab aku dan dia selalu bangun lebih awal dari pelajar lain. Bangun pukul 5 pagi, mandi dan solat di dalam dorm. Masa budak-budak lain sibuk pergi solat subuh di surau, aku dan Qim berlenggang pergi ke dewan makan untuk sarapan. Begitulah setiap hari. Budak laki sound kami buat tak layan. Dan paling manis kisah aku, Qim, Aunty Marry (mak Qim) dan pengsan dalam dorm. Kisah paling unik dan paling indah. Setiap kali aku kenang semula kisah tu, pasti aku tersenyum sendiri. Nakal.

Selepas SPM, aku masuk matrikulasi UKM tapi tempat belajar di Kolej Unitek, PJ. Di sini aku rapat dengan budak rumah aku. Sara, Sab, Dina, Ihan, Ida dan Awa. Aku masih berhubung dengan mereka. Terutama Sara. Sara anak tunggal, hitam manis dan punya senyuman paling menawan.

Habis matriks, aku tidak menyambung pengajian di UKM tetapi di ITTHO aka KUiTTHO aka UTHM. Di sini yang menjadi kawan baik aku adalah suami aku sendiri. Selain nama-nama seperti Kak Fir, Ida, Ewa, Ju dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Di sini juga aku kenal apa itu kawan dan apa itu lawan. Aku pernah dipulau oleh kawan hanya kerana aku punya 'kekasih hati'. Kisah yang satu ini juga menarik. Kerana dipulau, aku hanya duduk di rumah sewa tanpa kawan untuk berbual bicara. Namun Tuhan Maha Adil. Ada satu ketika, mereka tidur lambat. Mungkin study kerana keesokan harinya mereka ada Final Exam. Pagi-pagi setelah aku solat subuh aku bersiap. Aku tak menduduki exam tersebut. Hanya bersiap seperti biasa. Aku tunggu kawan-kawan bangun tapi sampai pukul 7.30 mereka tak bangun lagi. Exam pukul 8.30 pagi. Hati setan memujuk supaya membiarkan mereka nyenyak tidur. Terlepas exam dan gagal kertas pagi itu. Tapi hati kasihan seorang kakak (aku tua setahun dari mereka), dan juga memikirkan kasihan mereka, aku kejutkan juga mereka. Lambat. 7.45 pagi. Sengaja aku hendak tengok mereka kelam-kabut. Dan alhamdulillah mereka sempat menduduki exam tersebut. Bertitik-tolak dari hari itu, mereka mula mendekati aku seorang demi seorang. Benar; jika orang memberi kita tuba, jangan kita balas dengan racun berbisa. Tapi hadiahkan mereka halwa agar mereka tersipu sendiri.

Selesai ijazah pertama, aku meneruskan pengajian sarjana. Kawan yang rapat Julia. Dia baik, sangat comel dan putih. Badannya bulat tapi sangat suka ketawa. Bila dia penat, pipi dia yang tembam memerah macam buah tomato. Comel dan sangat comel. Kami berkawan rapat tidak tetapi sangat mesra. Persahabatan terus terjalin sehingga di tempat kerja. Bekerja di tempat yang sama. Anak rantau. Maka kami makin rapat. Di tambah pula dengan Mala. Kami 3 serangkai ke mana sahaja bersama. Mala kawin awal, anak sudah 2. Baik, suara comel, dan sangat tegas. Pemurah dan sangat toleran. Dialah jiran sebelah rumah aku, di pejabat dia duduk di hadapan aku. Kami gelar diri kami rakan sepemakanan. Tapi semua itu aku dah tinggalkan. Pindah ke JB mengikut suami. Namun kami tetap berhubungan.
Sekarang di tempat baru, aku punya ramai kawan baru. Di pejabat, aku rapat dengan Kak Afzan. Tapi yang paling aku tunggu ialah untuk berbual dengan rakan-rakan tetingkap. Qim, Teja, Awa, Rehan, Sherin, Mai, Lily, dan Sam. Ada saja cerita. Ada saja gosip dikongsi bersama. Ada saja borak nakal penceria suasana. Tidak seperti hari-hari lain, hari ini aku menjadi tidak stabil. Emosi tidak menentu dan rasa rajuk hati dengan kawan aku Qim. Bodoh benar aku. Perangai seperti budak-budak. Tidak sedar diri sudah tua. Mahu merajuk, menangis dan minta dipujuk. Betul ke kawan menangis sukar dicari? Tidak kerana aku sudah menemui siapa mereka.

Wednesday, April 1, 2009

Lipas


Kisah bermula.... Hubby di sebelah leka menonton cerita 'Heroes'. Cerita kegemaran Hubby. Hubby download banyak siri. Jadi tidak menjadi kesalahan bg diri aku sekiranya aku leka 'menggodeh jaringan maya' kerana Hubby turut sibuk dengan ceritanya. 10.30 malam aku baru siap mengambil wudhu'. Hendak solat isya'. Usai mengambil wudhu' aku masuk bilik. Menjengah ke bilik, aku ternampak kelibat lipas. "Sayang 'kawan baik' u dah datang." Hubby memang pantang dengan segala macam serangga merayap ni. Tak kira la lipas, semut, kumbang, namakan apa sahaja serangga merayap. Semua adalah musuh Hubby. Shieldtox memang tersedia di dalam bilik. Jadi bila aku beritahu saja Hubby pasal lipas, segara Hubby bertindak. Mati seekor. Aku suruh Hubby flush saja lipas dalam tandas. Hubby keluar ke tandas tetiba dia masuk semula. "Sayang ade 4 ekor lipas lagi kat luar." Maka peperangan lipas dan Hubby bermula. Solat aku tergendala. Sedang aku cuba betulkan niat semula, ada 2 ekor lipas muncul di tingkap bilik. Pelik. Malam ini ada perjumpaan lipas ke? Banyak betul. Terlompat-lompat dan terjerit-jerit aku panggil Hubby. Lipas ni saja menguji aku. Mereka tahu aku takut gamaknya. 3 kali takbiratul ihram aku terbatal. Semua gara-gara lipas terbang mendekati aku. Seram bulu roma. Hubby berlagak seperti hero menyelamatkan puteri. Habis semua lipas yang muncul dibunuhnya. Akhir sekali tak ada lipas lagi. Aku meneruskan solat aku. Hubby pula terus mengadap pc dia. Hiro Nakamura dan Sylar menunggu. Mata Hubby terus terpaku depan pc. Selepas aku mencium tangan Hubby sesudah solat Hubby cakap " Sayang lepas ni kita kena beli Shieldtox untuk lipas. Khas untuk lipas..."


Doa dalam hati: Minta-minta Hubby tak jadi tidur di Pontian esok. Kalau Hubby tidur di Pontian siapa nak tolong aku kalau tiba-tiba lipas tu muncul macam tadi? Harus aku tidak tidur nyenyak macam hari-hari lain Hubby tidur di Pontian.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie Breastfeeding tickers