Sunday, June 30, 2013

Cuba untuk senyum

Assalamulaikum...Salam hari Ahad....

Hari ini cuba untuk menceriakan diri. Keluar 'shopping' barang dapur seorang diri. Anak-anak saya tinggal bersama En.suami. Namun perkataan ceria itu tidak juga kunjung tiba. Manakan tidak ceria, sesampai Sahara di Tesco, umat manusia ramai sekali. Bagai ada pesta keramaian. Bagai ada agihan barang percuma. Sesak dalam setiap lorong. Troli berlaga. Tangan berebut barang. Memburukkan lagi keadaan bila rak barangan telah beralih tempat. Hendak mencari sos tomato sahaja memakan masa. Mode ceria dicari tapi mode lain yang datang. Penat dan rasa keliru.

Alahai saya cuba untuk senyum namun masam muka yang tiba.

Tabiat buruk

Malam yang indah. Selamat malam semua.

Malam ini perlawanan akhir JDT dan TRW. Kemenangan berpihak kepada TRW. Saya penyokong JDT. Walau tidak tegar seperti orang JOHO yang lain. Semangat itu tetap ada. Dalam hati amat berharap agar JDT menang. Namun adat permainan. Ada juara dan juga naib juara. Piala yang dikejar hanya satu.

Beralih kepada cerita lain. Rentetan daripada cerita jalan lurus dan jalan bengkok. Saya asyik memikirkan mengenai jalan bengkok. Bagaimana saya hendak menggunakan jalan bengkok berkenaan? Di mana harus saya mulakan. Bila masa yang sesuai? Siapa yang harus saya tuju bila mana saya memulakan perjalanan melalui jalan bengkok berkenaan? Kenapa saya memilih jalan bengkok ini? Bermacam persoalan berlegar di fikiran.

Bila pelbagai persoalan di dalam fikiran, saya mula akan 'masam muka'. Rasa payah untuk mengukir senyuman. Anak-anak turut merasa tempiasnya. Alif terutamanya. Dia asyik cakap "Mama jangan marah". Dia bagi senyuman paling manis dan berharap saya membalas senyuman dia. Namun hati saya masih dingin. Hendak ukir senyuman walau sedikit terasa amat payah. Keadaan ini bertambah teruk kerana saya merasa amat penat menguruskan anak-anak. En.suami demam. Allah...saya tidak mahu berterusan begini. Penat rasa otot di muka. Bibir janganlah masam sahaja. Senyumlah dikau.

Inilah tabiat buruk saya. Sehingga kini saya cuba untuk ceria. Anak-anak sudah tidur. Moga esok saya boleh bagi merekaa senyuman penuh makna. Bibir senyumlah dikau. Usah masam muka lagi.

Saturday, June 29, 2013

Jalan lurus vs Jalan bengkok

Salam petang sabtu.

Allahuakbar!!! Hari ini seharian saya mendapat penyakit berdebar-debar. Sememangnya saya sendiri tidak tahu kenapa saya perlu berdebar sehingga saat saya menulis di sini. Puas saya berfikir apakah musibah atau kejutan berita baik yang akan saya terima. Astaghfirullah al azim...

Dalam berfikir tentang berdebar ini, saya teringat peristiwa hari Khamis (27/6/2013). Saya menghadiri temuduga untuk mendapatkan biasiswa HLP. Pengalaman temuduga kali ke-2. Jika ditanya bagaimana proses temuduga kali ini. Saya sendiri ragu-ragu. Keputusan temuduga mungkin lebih berat kepada dukacita. Ini yang saya rasa. Sedih dan risau. Namun saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya fikir jika saya berjaya mendapatkan biasiswa itu, maka ianya satu rezeki yang datang bersama tanggungjawab yang maha berat. Jika saya gagal mendapatnya, ada 'pelangi' yang menanti saya. Kan setiap perancangan daripada Allah kepada hambaNya adalah yang terbaik. Tetapi saya tidak dapat sangkal perasaan sedih mesti ada. Hmmm...

Selama ini saya dikurniakan sebuah kehidupan yang boleh dikatakan mudah dan senang. Perjalanan belajar dari sekolah rendah ke sekolah rendah. Disambung dengan pengajian di universiti peringkat ijazah muda dan ijazah sarjana. Semuanya berjalan lancar. Begitu juga dengan urusan kerja. Saya mendapat tawaran kerja tanpa perlu bersusah payah. Tawaran kerja yang ditentukan kerana saya mendapat biasiswa KPM. Semuanya LURUS!  Teratur sahaja.

Namun untuk kali ini saya terfikir untuk melalui jalan BENGKOK. Jalan yang tidak pernah saya cuba untuk lalui. Semuanya bergantung kepada keputusan biasiswa HLP nanti. Sekarang masa untuk berlapang dada untuk menerima sebarang berita. Duhai hati bersabarlah. Teringat kata salah seorang panel temuduga "Adakah saya bersedia untuk PhD?" Jawapan saya (dalam hati) saya sendiri tidak pasti. Itu yang pasti.

Bukan selalu jalan yang LURUS adalah mudah. Dan bukan selalu jalan yang BENGKOK adalah payah. Saya sedang menyiapkan diri untuk sebarang berita. Jalan LURUS atau jalan BENGKOK. Saya pasti semuanya yang terbaik daripada Allah.

Monday, June 24, 2013

Kek butter

Salam nisfu Syaaban buat semua

Alhamdulillah hari ini saya berjaya puasa. Syukur yang amat. Dapat lakukan solat tahajjud, solat hajat dan solat witir sebelum bersahur. Sahur ringkas sahaja. ESP campur mealshakes campur oats 3 in 1 beserta 2 biji kurma. Alhamdulillah rasa kenyang hingga ke petang dan cergas sahaja.

Rutin bekerja seperti biasa. Kelas sudah bermula bagi semester baru. Tugas lain adalah menyiapkan fail dan slaid bagi interview hari khamis nanti. Kelas petang sangat santai. Syukur atas nikmat kurniaanMu ya Rabb.

Balik kerja semasa memandu terbayang kesedapan kek butter. Hanya sekadar bayangan. Hendak singgah kedai malas. Maka tinggallah bayangan kesedapan kek butter begitu sahaja. Pukul 6.00 mesej En.suami untuk beli makanan berbuka. Menu setiap hari Isnin adalah nasi lemak. Nasi lemak letak ayam goreng tanpa sambal. Nanti boleh kongsi makan dengan anak-anak. Namun tidak disangka En.suami turut membeli kek butter.  Allahuakbar...Allah sampaikan hajat saya melalui En.suami.

Malam nanti dan jika tidak sempat malam esok boleh makan sambil minum ESP campur mealshakes suam. Mesti sangat lazat. Alhamdulillah. ..

"Maka nikmat Tuhan mana yang hendak kamu dustakan...?"

Sunday, June 23, 2013

Potty training

Salam malam penuh berkat...

Hari ini percubaan yang entah kali ke berapa melatih Alif untuk tidak menggunakan pampers. Untuk pengetahuan, semua percubaan sebelum ini diakhiri tidak sampai 2-3 jam dari masa percubaan bermula. Ia tamat sekelip mata. Ini kerana saya sendiri yang 'fed-up'!

Percubaan hari ini dilakukan seawal Alif bangun pagi tadi. Selalunya bila Alif bangun pagi and En.suami akan tukarkan pampers baru. Bagi 'montot' bulat Alif selesa. Pagi tadi tiba-tiba Alif cakap "Abang taknak pakai pampers". Ooh...dia sudah bersedia ke?

Sebenarnya kerap juga Alif beritahu "Abang nak shishi"(nota: hendak kencing) walaupun pada masa itu dia memakai pampers. Saya dan En.suami cuma cakap "Shishi lah dalam pampers". Jadi hari ini bila mana awal lagi Alif sudah cakap dia tidak mahu pakai pampers lagi, apa salahnya kami cuba lagi. Berulang kali saya dan En.suami beri peringatan kepada Alif untuk beritahu kami sekiranya dia ingin kencing.

Alhamdulillah percubaan kali ini boleh dianggap berjaya kerana hanya sekali sahaja Alif 'terkucil'. Waktu dia tidur memang kami pakaikan pampers. Selebihnya dia berjaya memberi sepenuh komitmen dalam menjayakan misi kali ini. Lega...

Antara tip yang boleh digunakan untuk melatih anak menggunakan tandas;
1. Tunggu anak sehingga dia bersedia.  Dalam konteks ini Alif sememangnya sudah bersedia cuma saya sahaja yang tidak bersedia. Kadang ada juga ibu bapa yang mengajar anak seawal umur setahun lebih. Ikut keselesaan dan kelapangan anda. Tetapi bagi saya biar anak anda sendiri bersedia. Bagi dia masa.

2. Gunakan tandas sebenar berbanding 'tandas tiruan'. Ini bagi memberi pengalaman sebenar kepada anak.

3. Ibu bapa kena bagi sepenuh komitmen dalam menjayakan misi anak. Tanggungjawab melatih anak menggunakan tandas bukan hanya pada ibu sahaja atau bapa sahaja. Kedua-dua pihak seharusnya bekerjasana dengan anak. (Nota: Ini misi penting anak anda. Lakukannya bersama-sama kerana mereka sebenarnya sangat memerlukan kita).

4. Ulang tanya dan bawa dia ke tandas sekurang-kurangnya setengah jam sekali. Dalam hal ini ibu bapa jangan ambil mudah untuk tunggu anak beritahu kita dia hendak kencing. Kadangkala mereka leka. Jadi kita yang perlu peka.

5.   Jika anak berjaya menggunakan tandas, puji mereka. Saya dan En.suami akan sebut "Abang hebat!". Alif akan senyum sampai ke telinga. Saya pasti anak anda juga. Mereka akan rasa tindakan mereka seakan wira. Percayalah dengan pujian ini akan meningkatkan keyakinan mereka untuk menggunakan tandas.

Rasanya sampai di sini dahulu. Moga percubaan hari ini berkekalan. Perlu diingatkan lakukan sepenuh hati. Jangan mudah marah anak sekiranya dia 'terkucil'. Saya akui percubaan dahulu tidak berjaya kerana saya tidak yakin dan malas serta cepat marah bila mana Alif 'terlepas' dan 'melepas'. Untuk kali ini saya cuba kawal perasaan.

Ini salah satu percubaan anak kita menuju ke alam kedewasaan. Hayati pengalaman ini bersama mereka. Sebenarnya latihan ini bukan hanya untuk mereka tetapi untuk mendidik kita sebagai ibu bapa.

Abang Hensem!

Salam malam nisfu syaaban.

23/6/2013. Alhamdulillah anak-anak comel hari ini genap 3 tahun 1 bulan untuk Muhammad Alif bin Danial Hafiz Ling dan genap 1 tahun 5 bulan untuk Muhammad Atif bin Danial Hafiz Ling. Masa berlalu sangat pantas. Rasa seakan baru sahaja melahirkan mereka. Syukur padaMu ya Rabb.

Anak-anak comel mula pandai bergaya. Hari ini Alif menggayakan sunglasses saya. Senyum lebar bila disuruh bergaya depan kamera. Suatu yang dia tidak minat. Namun kerana sunglasses tersebut dia rela. Bergaya depan cermin. Bergaya depan Atif. Bergaya depan kami semua. Atif mula berebut sunglasses itu juga. Mahu turut serta. Namun bila barang berada di tangan Alif, susah mahu cerita. Kedekut dengan Atif tetapi tidak dengan orang lain.

Bila ditanya "Abang hensem?" Jawabnya ringkas dan jitu. "Abang hensem!". Senyum dengan jawapan tulus dia. Yakin. Allahuakbar. Sayang Alif.

'Ya Allah. Engkau jadikanlah anak-anakku Muhammad Alif dan Muhammad Atif anak yang soleh anak yang hebat anak yang bijak dan anak yang taat ya Allah'.

Saturday, June 22, 2013

Impian 1

Salam sabtu petang yang berjerebu...

Sedang tidurkan Atif tiba-tiba teringat sesuatu. Masa kecil dahulu saya suka berangan-angan. Pasang impian bila besar nanti saya hendak itu dan hendak ini. Macam-macam yang diinginkan. Dari hal kebendaan sehingga kepada pasangan hidup (nota:jangan tiru angan-angan ini).

Untuk kali ini saya ceritakan impian berkenaan pasangan hidup dulu. Saya amat gemar menonton cerita cina. Lagi pula zaman remaja saya dipenuhi dengan cerita-cerita cina dengan hero hensem bermata sepet. Leon Lai Meng, Aaron Kwok, Andy Lau (sekadar menulis beberapa nama) menjadi pujaan saya dan rakan-rakan. Malah ada di antara rakan-rakan saya sanggup mengeluarkan sejumlah duit untuk membeli majalah/suratkhabar lalu sekiranya ada artis cina kegemaran mereka. Gambar 'buah hati' dipotong elok-elok dan diframekan. Ada juga di antara kami meletakkannya di dalam fail. Gambar-gambar ini disimpan elok dan rapi. Setiap masa senggang gambar ini ditatap dan dibandingkan. Siapa 'juara' dalam mengumpul gambar artis kesayangan mereka.

Saya hanya mampu tumpang 'bangga' dengan koleksi rakan-rakan. Hendak mengumpul koleksi tidak punya banyak wang. Duduk di asrama, ayah dan emak hanya membekalkan rm5-rm10 sahaja seminggu. Duit perlu digunakan sebaiknya. Selalunya duit tersebut digunakan untuk membeli alat tulis atau tambang pulang ke rumah waktu 'outing'. Tetapi selalunya duit habis untuk beli gambar kenangan daripada rakan-rakan yang ada kamera. Sekeping gambar rm0.50. Jadi wang memang perlu dicatu sebaiknya. Jika teringin sangat hendak menyimpan gambar artis, saya akan gunting daripada suratkhabar percuma sekolah.

Puas membelek koleksi rakan-rakan, saya mula pasang angan-angan. Impian bila besar nanti saya hendak kahwin dengan orang cina. Angan-angan ini kerap saya sebutkan dalam hati. Senyap-senyap. Berbisik-bisik seorang diri. Tiada seorang pun yang tahu. Dahulu saya tidak tahu konsep 'setiap impian/angan-angan yang disebutkan berkali-kali umpama doa kepada Illahi'. Naif. Namun saya sangat bersyukur.  Impian yang satu itu Allah kurniakan kepada saya. Maha suci Allah. Tidak sekali-kali saya sangka impian ini menjadi kenyataan kerana ianya seakan mustahil pada pandangan umum.

Masakan tidak, sekolah menengah rendah (tingkatan 1-3) ianya sekolah 'all girls'. Tiada murid lelaki. Semasa sekolah menengah atas (tingkatan 4-5), sekolah campuran. Ada murid lelaki dan perempuan. Namun kelas saya adalah kelas 'semua perempuan'. Di matrikulasi keadaan sama berulang. Kelas saya hanya terdiri daripada pelajar perempuan walaupun terdapat kelas yang bercampur lelaki perempuan. Hanya ketika di universiti saya mula bergaul dengan jantina bertentangan. Malah kenal dengan 'boyfriend' (sekarang En.suami) secara tiba-tiba. Bukan sahaja berlainan kuliah malah berlainan program. Dia ambil awam saya ambil elektrik.

Semuanya Allah punya kuasa. Maha suci Allah. Impian dan angan-angan dahulu Allah perkenankan. Doa kecil di dalam hati Allah kabulkan.

Krim sahaja

Salam hari sabtu.

Hari ini hendak kongsi cerita pasal tabiat Atif. Dia pantang nampak makanan. Mesti dia akan sebut "mamam mamam..." sampailah dia dapat pegang makanan tersebut. Makannya bukan banyak sangat. Lebih pada yang terjatuh atau tumpah ke lantai. Kadang jika air yang tumpah, lagi haru. Dia akan serakkan air ke merata tempat. Bila dia buat macam itu, terasa diri hampir bertukar menjadi makhluk hijau. HULK!!!

Berkenaan krim sahaja. Jika biskut krim yang diberi, dia akan korek krim pada biskutnya sahaja. Biskutnya? Dia akan suap mama dia makan. Jadi selalunya saya akan bagi biskut tetapi buang krimnya terlebih dahulu. Namun bukan semua biskut mudah dibuang krimnya. Contoh biskut yang mudah dibuang krim adalah oreo. Biskut yang susah dibuang krim pula sangat banyak. Hmm...banyak pula akal anak comel ini.

Wednesday, June 19, 2013

Malam Persada Kurnia 1

Salam 1 Malaysia. ..

Tidak tahu mana silapnya, post yang saya tulis pagi tadi tidak dipublish langsung. Tiada dalam draf tiada dalam senarai published. Maka kena tulis semula. Masalahnya saya tidak ingat isi yang ditulis tadi. Maka saya tepek gambar sahaja.

Sebelum terlupa, Malam Persada Kurnia adalah kemuncak RZSA. Pada malam tersebut Raja Zarith Sofiah mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang RZSA. Saya? Hanya orang belakang pentas sahaja. Maka gambar yang dilampirkan hanya pada waktu rehearsal sahaja. Gambar pada masa berlangsung tidak ada.

Bantal angry bird

Selamat malam semua

Tadi pergi ke The Store. Saja jalan-jalan tempat 'window shopping' 2 tahun sekali ini. Kali terakhir pergi 2 tahun lepas kerana En.suami berkursus di sini. Dulu pergi bawa Alif, kali ini ada Atif sekali. 2 tahun lagi ada A--- apa pula.

Dalam The Store tadi ada 2 bolsters berlainan sarung. Alif pilih satu Atif pilih satu. Semasa hendak buat pembayaran ada masalah pula. Bantal tersebut tidak ada tag harga. Pekerja di bahagian bantal tersebut tidak tahu macamana hendak letak tag sebab semua bantal dalam 'kotak besi' tidak ada tag harga. Dia ingat cukup hanya tulis pada resit tetapi pekerja di kaunter kata kena ada tag untuk scan harga dan masuk dalam sistem.

Malas untuk tunggu proses seterusnya,  maka tinggallah bantal-bantal tersebut di kaunter sahaja. Alif mula hendak menangis sebab dia paling teruja dengan bantal tersebut. Tapi dengan pujuk-pujuk dia sedikit, langsung dia tidak jadi menangis.  Kalau tidak haru juga sebab dia 'kipas susah mati' angry bird.

Malam Persada Kurnia 2

Salam...

Kami orang kuat----> belakang pentas

Tuesday, June 18, 2013

Era Maju

Salam 1 Malaysia

Bersiaran di pusat servis kereta Era Maju. Malam ini hendak ke Kuala Lumpur. Kereta perlu diservis. Moga perjalanan malam ini dipermudahkan oleh Allah.

Kereta saya bukan yang di atas tapi kereta comel rona hitam di depan nun...sangat berjasa kepada saya. Hampir 7 tahun khidmatnya. Alhamdulillah syukur. Masih tetap gagah. Sayang kereta comel ini.

"Mama jangan marah-marah"

Assalamualaikum. ..Salam hari Selasa.

Ayat baru dari Alif bila mama tinggikan suara "Mama jangan marah-marah". Sambil itu jari comelnya sibuk menegangkan kerut kedut di dahi mama. Alahai anak, ucapmu buat mama senyum sendiri. Pandai sudah menggunakan ayat pada situasi. Contoh lain bila mana saya main game dan kalah, Alif akan cakap "Mama jangan risau. Jangan nangis". Alif...Alif...moga Alif menjadi anak kebanggaan keluarga. Mama sayang Alif.

Kalau ambil gambar dia pula, dengan segera dia cakap "Mama jangan. Ambil gambar Titi (Atif)".

Monday, June 17, 2013

RZSA

Salam muhibbah...

17/6/2013 - 18/6/2013, saya terlibat dalam menjayakan 'event' terbesar tempat kerja saya PIS. RZSA singkatan bagi Raja Zarith Sofea Award. Pertandingan dalam mencungkil bakat-bakat design kreatif. Pertandingan berstatus kebangsaan ini julung-julung kali diadakan oleh politeknik kecil seperti kami.

Penglibatan saya hanya sebagai urusetia protokol pentas. Tugas 'besar' bagi orang kecil. Terlibat secara tidak langsung dengan 'orang besar' :-). Enam orang yang comel lote (termasuk saya) bertugas bagi tugasan ini. Lima orang daripada kami adalah ahli tetap dan berpencen bagi gelaran protokol pentas ini. Setakat ini, hampir semua acara yang mempunyai 'pentas' diboloti oleh kami.Bila agaknya tampuk yang disandang diserahkan kepada orang lain entahlah. Asyik muka kami sahaja.

Gambar untuk hari ini (17/6/2013). Untuk esok tak tahulah bagaimana pula.

Sunday, June 16, 2013

Apa ada pada jenama?

Salam Ahad buat semua.

Jenama (brand). Apa ada pada jenama? Saya bukan seorang yang arif tentang jenama. Penggunaan barang berjenama pada diri amat terhad. Contohnya tudung. Belum ada koleksi ariani mahupun fareeda atau pearl haya setakat ini. Hanya ada 3 helai tudung jenama " Bawal Exclusive" harganya tidak lebih rm50 sehelai dan tudung-tudung tiada jenama lain.

Pakaian. Seperti tudung juga. Tiada koleksi menarik. Jika ada pun t-shirt brand seeds atau padini yang dibeli di dalam 'kotak' dengan harga 70% dikurangkan atau lebih.

Handbag pula dari jenama sembonia. Bonia? Design dan harganya tidak berkenan di hati. Namun saya suka cuci mata pada jenama 'Coach' dan juga 'Burberry'. Adakah suatu hari nanti saya mampu miliki? Angan-angan yang tidak perlu dibayar. Berharap juga ada yang mahu menghadiahkan kepada saya. Tapi terfikir juga jika jenama handbag sudah gah, bagaimana pula dengan isinya? Ini kerana selalu hanya ada not-not berona biru atau hijau muda dan merah sahaja.  Jarang sekali not berona ungu hinggap lama.

Paling terbaru makeup yang dibeli dengan jenama MAC. Jenama makeup termahal pernah dibeli.

Jenama. Selalu buat hati tidak tenteram. Moga diri tidak tergolong dalam golongan gila jenama.

Friday, June 14, 2013

M.A.C

Salam Jumaat yang penuh berkat kepada semua.

Hari ini saya telah menghadiahkan diri saya alat kecantikan. 'Makeup' atau nama lain alat solekan. Awal perancangan hendak membeli jenama Bobbi Brown, namun jodoh kuat dengan MAC pula.

Sudah lama saya tidak membeli lipstick. Rasanya sudah lebih 4 tahun usia lipstick yang ada. Memang sangat jarang menggunakannya sejak berpindah ke Johor pada 2009. Paling tidak saya hanya menggunakan lip gloss atau lip balm sahaja. Itu pun sangat malas.

Saya turut membeli 'eyeshadow' dan blusher selain lipbase (kerana bibir saya sangat kering!!). Tidak ketinggalan berus blusher yang rupanya seperti berus lukisan. Kali terakhir membeli eyeshadows adalah pada 2007. Beli beria-ia kerana hendak dijadikan hantaran perkahwinan. Beli sendiri tetapi claim duit bakal suami (sekarang En.suami). Jenama Revlon. Berbekas-bekas eyeshadows dan lipsticks serta blushers. Pengakhiran semuanya dibuang kerana terlalu lama tidak menggunakannnya. Faktor utama kerana kesuntukan masa untuk bersolek kerana ada anak kecil.

Bila membeli tadi rasa sangat teruja. Minta jurujual tolong solekkan muka sekali. Oh!!! Lamanya tidak lihat muka sendiri disolek sebegitu. Solekan nipis natural. Senyum sendiri. Cuba itu dan cuba ini. Alang-alang disolekkan secara percuma. Namun bila tiba saat membayar sangat mendebarkan. Menggigil mengeluarkan wang berjumlah hampir rm450. Mahal!

Dalam hati rasa menyesal pula. Rasa membazir takut tidak menggunakan selepas ini. Macam-macam perasaan. Bercampur aduk. Kawan yang menemankan cakap "Anggap satu 'reward' kepada diri sebab k maity dah lama tak beli apa-apa untuk diri sendiri". Benar. Terlalu lama tidak menghadiahkan diri sesuatu tanda penghargaan selepas penat  bekerja.

Takut juga En.suami marah bila tahu harga. Namun semuanya berakhir dengan senyuman. En.suami kata "Tak apalah sayang. Yang penting u guna". Lega!

Jadi selepas ini kena rajin memakainya biar berbaloi dengan nilai belanja. Cuma jangan sampai seperti solekan opera cina. Hehhehe. ..solekan natural yang pasti. Agar muka tidak nampak pucat lagi. Oh! Bukan niat untuk minta dipuji atau mahu tunjuk cantik bila bersolek ini. Solekan sederhana sahaja ya. Tidak secara berlebihan.

Tuesday, June 11, 2013

Kek keras?

Alhamdulillah...

Percubaan pertama untuk masak kek sendiri berdasarkan resepi daripada blog 'orang putih' tidak menjadi. Nama kek yang diimpikan adalah "molten lava cake". Kek lazat cair di tengah. Bertambah lazat sekiranya dimakan bersama aiskrim vanilla. Namun sudah namanya percubaan pertama mesti ada kekurangannya.

Tiada cairan coklat cair di tengah-tengah kek seperti yang dihajati. Namun kek tersebut tetap menjadi kek biasa.  Masih gebu dan agak lembab sedikit. Tidak pasti apa silapnya kerana saya memang "tangan bangku" dalam hal membakar/membuat kek ini. Lain kali mungkin boleh dikurangkan amaun tepung dan masa pembakaran.

Terubat rasa kecewa, En.suami masih cakap "ok, sedap" sambil makan bersama aiskrim. Komen positif yang agak payah di keluarkan oleh En.suami kerana dia "hantu kek". Ya, boleh cuba lagi. Rasa puas hati bila mana melihat sebiji kek yang comel dikongsi makan oleh En.suami dan 2 hero comel.

** Perlu berusaha lagi. Ciayo ^o^

Mama? Mommy?

Assalamualaikum.  Salam hari Selasa bersamaan 2 Syaaban 1434.

Mama atau mommy? Kedua-dua gelaran untuk ibu atau ummi atau emak. Tiada beza tanggungjawab antara semuanya. Pemberi kasih sayang, penyatu cinta dalam keluarga.
Apa gelaran anda yang bergelar ibu/mama/ummi/mommy/emak?

Saya menggelarkan diri sebagai mama sebaik sahaja tahu diri mengandung. Berbisik dan bercerita dengan bayi dalam rahim dengan kata-kata dan doa "Ya Allah, berilah kesihatan kepada anakku ini. Sempurnakanlah kejadiannya. Jadikanlah anak ini anak yang soleh, hebat, bijak dan taat".
Kata-kata pujukan "Baby jangan tendang kuat sangat, mama sakit" atau "Baby lahir pada 23 haribulan ya, mama tunggu".

Lahir sahaja permata hati memang saya tetapkan panggilan mama. Ooh Allah sahaja yang tahu perasaan bila mana menggunakan gantinama itu. Mama untuk saya dan papa untuk En.suami. Rasa sepadan dan saling lengkap melengkapi.

Namun sejak kebelakangan ini rasa diri tergugat. Gelaran 'Mama' seakan ditarik daripada diri. Malah diganti dengan gantinama 'Mommy'. Sebenarnya bukan ada masalah besar pun dengan panggilan ini. Saya masih lagi mama kepada Alif dan Atif. Cuma rasa tidak puas hati kadang-kadang menjelma. 'Mama' adalah gantinama nenek bagi emak En.suami. 'Mama Icah' adalah gantinama pengasuh yang menjaga Alif dan Atif.

Diri dalam keadaan terpaksa menerima panggilan baru dari anak-anak. Namun panggilan ini bukan timbul daripada Alif dan Atif tetapi daripada En.suami, keluarga sebelahnya dan juga pengasuh! Seakan tidak berpuas hati. Saya mama bukan mommy!!! Kadang hati menjerit. Kurang gemar sebenarnya dengan panggilan mommy padahal tidak ada celanya jika dipanggil begitu. Malah tanggungjawab dan kasihnya tetap satu.

Ooh betapa hati ini masih berat menggunakan panggilan itu. Namun mulut secara terpaksa membahasakan diri mommy juga. Cuma oleh kerana terbiasa masih juga "Mama" "Mama" dan "Mama". Dan paling gembira bila Alif panggil "Sayang mama" dan buat diri senyum sampai ke telinga bila Atif tidak putus sebut mama mama sebelum tidur. Rasa diri bahagia.

Buat mereka yang memakai gelaran mommy, saya bukan memandang rendah dengan panggilan itu. Tidak sama sekali.  Saya menyanjungi anda. Cumanya saya ingin mempertahankan gelaran "Mama" yang saya pilih dahulu.  Luahan rasa kerana merasa Mama hanya untuk saya. Harapan agar saya dapat menggunakannya bukan mereka. 

Sunday, June 9, 2013

Mereka ♡ saya

Lihat gaya mereka lebih kurang sama sahaja. Mereka ♡ saya. Hadiah dari Allah penawar dan penghibur hati saya.
Terima kasih Allah atas kurniaanMu yang tidak ternilai ini. Pengikat rasa cinta kami. Ya Allah temukan kami semula di syurgaMu.

Oven

Salam pagi Ahad.

Semalam pagi-pagi lagi balik ke kampung. Balik bertiga sahaja dengan anak-anak. En.suami kerja. Ini kali pertama rasanya balik bersendirian dengan anak-anak comel. Selalunya berteman dengan en.suami ataupun dengan adik-adik.

Alhamdulillah anak-anak tak banyak kerenah. Paling-paling pun Atif menangis sekejap dalam kereta sebab nak duduk atas riba. Puas pujuk sambil selawat dan menyanyi, lepas tu terus diam dia. Mama dia buat keras tak nak biasakan dia atas riba semasa memandu. Memang tak pernah buat pun sebab bahaya. Tapi kalau dengan papa dia, Atif senyum sampai ke telinga sebab dapat pegang stereng.

Balik kampung pun sekejap je. Jumpa mak ayah dan adik-beradik serta anak saudara,  makan-makan dan golek-golek. Pukul 5 bertolak semula balik ke rumah. Sampai rumah dalam pukul 6 lebih. Hujan lebat dekat highway. Anak-anak tidur dalam kereta.

Sampai rumah, en.suami dah sedia buka pintu. Halaman rumah kemas bercuci. Dalam begitu juga. Lega, terima kasih sayang. Pergi ke dapur jenguk stor nampak oven telah disusun di atas rak. Senyum lagi.

Oven ini dibeli setahun yang lepas tapi baru kini dapat keluar dari kotak. Punya panjang masa diambil untuk keluarkan dari kotak sebab tak ada ruang untuk dia sebelum ini. Bila en.suami mengemas, Alhamdulillah cantik saja letaknya di sebelah microwave yang telah lama berkhidmat. Sekarang misi tunggu dan lihat bila operasi oven ini bakal bermula. Hihihi....

Friday, June 7, 2013

Mengisi masa terluang

Alhamdulillah diberi kesempatan masa olehNya saya dapat menghabiskan bacaan 3 buku di dalam gambar. Tulisan yang bersahaja tapi tersentap ke dalam jiwa.

Mereka penulis hebat !!! Mampu berkongsi cerita perjalanan diri. Dari cerita-cerita mereka sebenarnya itu yang terjadi dalam kehidupan kita setiap hari cuma bezanya catatan mereka dibuat untuk bacaan ramai.
Kita punya cerita sendiri. Sama seperti penulis-penulis ini. Cuma masa dan tempat serta watak tidak selari.

Apa yang pasti, selagi nyawa dikandung badan kita perlu sedar dan menginsafi bahawa segala yang ada pada diri adalah nikmat dari Allah. Nikmat masa, nikmat nyawa,  rezeki, anak, kerja dan banyak lagi...

Ya Allah jadikanlah aku hambaMu yang mensyukuri nikmatMu.

Thursday, June 6, 2013

Anak-anak comel

Mereka adalah buah hati saya. Muhammad Alif bin Danial Hafiz Ling dan Muhammad Atif bin Danial Hafiz Ling. Dua hero comel yang sangat manja.

Alif, putih gebu. Suka 'Angry Birds'.
Atif, comel sepet. Suka menyakat abang dia.

Oohh...rindu bau wangi masam mereka.

Wednesday, June 5, 2013

23 Januari 2012

Tahun Baru Cina, tahun Naga Air. Anak comel Muhammad Atif bin Danial Hafiz Ling selamat aku lahirkan secara normal. Alhamdulillah kelahiran anak ke-2 ini lebih mudah berbanding dengan anak pertama.

Doa mama agar Atif menjadi anak kebanggaan keluarga.  Anak yang soleh, hebat,  bijak dan taat.

Maha suci Allah. Terima kasih Allah atas hadiahMu yang tidak ternilai ini

Coretan kecil

Assalamualaikum...

SubhanAllah... Maha Suci Allah...

Lihat daripada tarikh coretan lepas dan hari ini jaraknya hampir setahun. Dalam masa setahun ini banyak perkara yang berlaku.

  • Tangan-tangan dan kaki-kaki kecil berdua Alhamdulillah sihat di bawah lindunganNya. Membesar dengan sempurna. Dan menunggu di 'sana' , pergi meninggalkan saya dan suami serta abang-abang comel pada 26/5/2013. Usia dalam kandungan hanya 11 minggu dan 3 hari.

  • Cerita lepas yang lain, Alhamdulillah diberi kesempatan untuk merayakan CNY bersama keluarga suami pada tahun ini 2013. Sungguh ianya satu kebahagiaan buat suami kerana selalu kami 'terlepas' dari menyambut bersama keluarganya.

  • Terkini, merindui untuk berkumpul bersama-sama keluarga besar saya. Lama tidak bertemu dengan kakak sulung. Lama tidak membuat 'bakar-bakar' hasil kutipan tongtong kami adik-beradik. Lama tidak berkumpul adik-beradik perempuan, bercerita kisah kehidupan. Lama tidak buat macam-macam perkara bersama. Nama sahaja 11 orang adik-beradik semuanya, tetapi yang biasa-biasa bertemu hanya 4-5 sahaja untuk sekali berkumpul. Jika saya sendiri rasa rindu apatah lagi Mak dan Ayah.

  • Berjinak-jinak dengan dunia Shaklee.

  • Ooohh...banyak rupanya yang perlu dicoret di sini... Moga coretan kecil ini dapat menjadi coretan besar lain kali. Moga 'enjin' untuk menulis ini terus panas, tidak hanya semput-semput seperti selalu. Hibernasi selama hampir setahun. Masa yang lama, memendekkan usia....


** Hati ini rindu untuk ke Mekah bersama suami. Moga menjadi realiti suatu hari nanti...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie Breastfeeding tickers