Assalamualaikum. Salam hari Selasa bersamaan 2 Syaaban 1434.
Mama atau mommy? Kedua-dua gelaran untuk ibu atau ummi atau emak. Tiada beza tanggungjawab antara semuanya. Pemberi kasih sayang, penyatu cinta dalam keluarga.
Apa gelaran anda yang bergelar ibu/mama/ummi/mommy/emak?
Saya menggelarkan diri sebagai mama sebaik sahaja tahu diri mengandung. Berbisik dan bercerita dengan bayi dalam rahim dengan kata-kata dan doa "Ya Allah, berilah kesihatan kepada anakku ini. Sempurnakanlah kejadiannya. Jadikanlah anak ini anak yang soleh, hebat, bijak dan taat".
Kata-kata pujukan "Baby jangan tendang kuat sangat, mama sakit" atau "Baby lahir pada 23 haribulan ya, mama tunggu".
Lahir sahaja permata hati memang saya tetapkan panggilan mama. Ooh Allah sahaja yang tahu perasaan bila mana menggunakan gantinama itu. Mama untuk saya dan papa untuk En.suami. Rasa sepadan dan saling lengkap melengkapi.
Namun sejak kebelakangan ini rasa diri tergugat. Gelaran 'Mama' seakan ditarik daripada diri. Malah diganti dengan gantinama 'Mommy'. Sebenarnya bukan ada masalah besar pun dengan panggilan ini. Saya masih lagi mama kepada Alif dan Atif. Cuma rasa tidak puas hati kadang-kadang menjelma. 'Mama' adalah gantinama nenek bagi emak En.suami. 'Mama Icah' adalah gantinama pengasuh yang menjaga Alif dan Atif.
Diri dalam keadaan terpaksa menerima panggilan baru dari anak-anak. Namun panggilan ini bukan timbul daripada Alif dan Atif tetapi daripada En.suami, keluarga sebelahnya dan juga pengasuh! Seakan tidak berpuas hati. Saya mama bukan mommy!!! Kadang hati menjerit. Kurang gemar sebenarnya dengan panggilan mommy padahal tidak ada celanya jika dipanggil begitu. Malah tanggungjawab dan kasihnya tetap satu.
Ooh betapa hati ini masih berat menggunakan panggilan itu. Namun mulut secara terpaksa membahasakan diri mommy juga. Cuma oleh kerana terbiasa masih juga "Mama" "Mama" dan "Mama". Dan paling gembira bila Alif panggil "Sayang mama" dan buat diri senyum sampai ke telinga bila Atif tidak putus sebut mama mama sebelum tidur. Rasa diri bahagia.
Buat mereka yang memakai gelaran mommy, saya bukan memandang rendah dengan panggilan itu. Tidak sama sekali. Saya menyanjungi anda. Cumanya saya ingin mempertahankan gelaran "Mama" yang saya pilih dahulu. Luahan rasa kerana merasa Mama hanya untuk saya. Harapan agar saya dapat menggunakannya bukan mereka.
No comments:
Post a Comment